Tuesday, October 20, 2009

Tapak semaian dan masalah kebiasaan

Penjagaan tapak semaian bukanlah satu isu yang boleh dipertikaikan. Terdapat beberapa masalah yang akan timbul. Akan ada anak pokok yang kelihatan layu, patah dan malah akan ada yang mati. Tetapi untuk kebanyakan masalah ini, terdapat penyelesaian yang sebenarnya mudah tetapi mentaliti bahawa anak pokok yang berasal dari hutan ini boleh hidup tanpa penjagaan rapi.



Isu-isu yang biasa timbul :

1. Anak pokok patah di batang
Ini biasa terjadi dalam pengangkutan, lagi-lagi jika dihantar dalam kuantiti yang banyak kerana tindihan. Anak pokok yang patah tidak semestinya akan mati. Di tapak kami juga ini merupakan isu yang biasa. Jika diasingkan dan dijaga dengan baik, InsyaAllah tunas baru akan mula bercambah dan proses pemulihan sudah pun bermula.



2. Anak pokok tercabut dari polybag
Masalah ini biasanya datang dari tanah yang longgar atau tidak mencukupi. Kebiasaannya memang anak pokok akan hidup tetapi apabila pemindahan dijalankan, polybag yang berat dengan tanah akan lucut dari genggaman akar. Ada keadaan di mana anak pokok masih boleh diselamatkan jika disemai semula di dalam polybag atau terus ke tanah. Seperti yang pernah di sebut sebelum ini, gangguan pada akar boleh mengakibatkan pertumbuhan anak pokok terbantut. Jika anak pokok diselamatkan secepat mungkin, pertumbuhan akan kembali normal dalam masa yang singkat.

3. Daun-daun layu dan kekuningan
Isu ini boleh timbul di mana-mana sahaja. Tetapi jika ia dihantar kepada anda dalam keadaan ini, jangan panik kerana ini adalah antara masalah yang paling kecil. Untuk setiap penghantaran, ada kemungkinan anak-anak pokok dimasukkan ke dalam lori sehari sebelum penghantaran. Keadaan yang panas, kekurangan air dan juga cahaya matahari menjadi faktor utama.



4. Serangan kulat dan serangga
Keadaan dan suasana yang biasa di tapak semaian adalah gelap, lembab dan berwap menjadikan ia habitat yang sesuai untuk pembiakan kulat dan serangga. Masalah ini boleh merebak dalam masa yang amat singkat. Disebabkan inilah mentaliti ‘anak pokok hutan’ harus ditinggalkan.

Dengan masalah sebegini, sudah menjadi kebiasaan akan terdapat anak pokok yang tidak dapat diselamatkan tetapi jumlahnya tidak akan lebih dari 5% walaupun penghantaran dan penjagaan membabitkan kuantiti yang besar.

Masalah-masalah di atas adalah yang biasa dihadapi bukan sahaja oleh pemilik tapak semaian, tetapi juga untuk penanam yang menyimpan anak pokok untuk sementara waktu sebelum di tanam. Jadilah pengusaha yang prihatin untuk mendapatkan kejayaan.