Sunday, August 23, 2009

Zeolite

Berhati-hati bila anda membeli baja Zeolite kerana sudah terdapat penjual barangan palsu. Zeolite asli akan larut di dalam air tanpa dikacau dan ia akan mendap tetapi tidak hancur seperti pasir atau tanah di dalam air.

Tapak semaian kami menggunakan baja ini untuk memulihkan anak-anak pokok yang kurang sihat dan juga untuk memastikan anak pokok yang anda beli dari kami adalah dalam keadaan yang terbaik. Pertumbuhan anak pokok juga berbeza jika dibandingkan dengan penggunaan baja lain.

Kami tidak melarang penggunaan baja organik lain contohnya seperti baja kompos (tahi kambing, lembu dan lain-lain) cuma jika baja ditabur terlalu banyak/kerap dan terlalu dekat dengan pokok ia boleh memberikan kesan-kesan negatif seperti daun kekuningan dan batang pokok yang lembut kerana baja-baja kompos adalah hangat.

Penggunaan bulanan secara selang-seli baja kompos dan zeolite boleh memberikan kesan yang amat positif.

Untuk tanah, baja Zeolite digunakan untuk menstabilkan semula tanah, mengembalikan pH ke tahap neutral, menjadikan ia habitat sesuai untuk cacing dan untuk pokok pula ia menggalakkan pertumbuhan yang efisien.

Baja kompos pula bukan sahaja memberi nutrien pada tanah malah ia menjadi makanan untuk cacing yang sudah mula membiak. Tahi cacing adalah baja percuma untuk pokok-pokok anda manakala kewujudan cacing di tanah akan melonggarkan tanah yang padat, memberi ruang untuk pertumbuhan akar dan juga 'pernafasan' tanah.

Selain dari itu, zeolite digunakan sebagai baja tambahan untuk tanaman yang memerlukan Potassium (K) yang tinggi seperti cili.

TAHUKAH ANDA BAHAWA ZEOLITE BUKAN SAHAJA SESUAI UNTUK PELBAGAI JENIS TANAMAN, MALAH IA JUGA DIGUNAKAN UNTUK MINUMAN BINATANG TERNAKAN DAN JUGA DI DALAM KOLAM AKUAKULTUR?

No comments:

Post a Comment